“Jangan buang masa. Lebih baik kita kejar Muhammad. Tujuan utama kita membunuh Muhammad, bukan Ali,” kata Abu Lahab sambil mengajak mereka keluar dari rumah itu bagi mengejar Muhammad.
“Tunggu dulu!” teriak Umaiyah bin Khalaf pula.
“Semasa menggeledah tempat tidur Muhammad, aku terjumpa banyak barang berharga yang ditinggalkan oleh Muhammad. Mari kita ambil barang-barang itu,”
“Semua barang-barang itu bukan kepunyaan Muhammad. Dia menitipkan kepada saya untuk dipulangkan semula kepada tuannya,” kata Ali pula.
“Dia bohong!” sanggah Umaiyah.
“Benar kata Ali,” kata Abbas pula yang baru sampai di situ. “Walau kamu membenci Muhammad tetapi masih ramai yang percaya kepada kejujurannya. Mereka menyerahkan harta mereka kepada Muhammad untuk dijaga.”
“Sekiranya Muhammad mahu, dia boleh membawa lari semua barang berharga itu ke Yathrib dan dia boleh hidup senang lenang di sana. Tetapi Nabi Muhammad itu seorang yang jujur. Walau dia dihalau dari tanah airnya sendiri namun dia masih bersikap jujur. Dia titipkan semua harta itu kepada saya bagi diserahkan semula kepada tuannya,” kata Ali bin Abi Talib pula.
Petikan dari buku Novel Sejarah Islam: Ali bin Abi Talib karya Abdul Latip Talib
...............................................................................................................................................
Nabi SAW mendapat perkhabaran awal dari Allah SWT melalui utusanNya iaitu Malaikat Jibrail mengenai pakatan khianat tersebut. Baginda bersama-sama Saidina Abu Bakar, melakukan hijrah ke Madinah pada malam itu juga.
Kuasa Allah SWT mengatasi segalanya. Dia Yang Maha Bijaksana adalah sebaik-baik perancang
Mulianya peribadi Rasululullah SAW telah menghantar signal yang positif kepada orang-orang yang berada di sekeliling Baginda. Di antaranya:
1. Saidina Ali bin Abi Talib
Allah SWT memuji tindakan Ali itu dengan turunnya ayat Quran, Surah Al-Baqarah (207) yang bermaksud:
“Dan ada antara manusia yang sanggup mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah. Dan Allah pula amat belas kasihan terhadap hamba-hambaNya”
Lihatlah, betapa setia dan cintanya sahabat Nabi SAW terhadap Rasulullah SAW tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri, tanpa memberikan hatta satu alasan sekalipun!
2. Saidina Abu Bakar
Sebaik sahaja Abu Bakar dipilih menjadi teman perjalanan Rasulullah SAW untuk berhijrah ke Madinah, beliau segera membuat persiapan. Beliau telah membeli 2 ekor unta bagi dijadikan tunggangan. Kemudian beliau bertemu dengan orang yang boleh dipercayai, Abdullah bin Uraiqit, lalu memintanya menjadi penunjuk jalan. Beliau juga berpesan kepada Amir bin Fuhairah yang mengembala kambing supaya memerah susu kambing sebagai bekalan semasa bersembunyi di dalam gua Thsur. Asma’ pula ditugaskan untuk menghantar makanan.
Sahabat-sahabat yang dimuliakan,
Ini menunjukkan betapa kasihnya seorang sahabat yang sanggup berkorban terhadap Nabi SAW dengan membuat perancangan yang teliti supaya Nabi SAW selamat melakukan penghijrahan ini. Walaupun beliau tahu, nyawanya menjadi taruhan. Benar! Kesetiaan seorang sahabat tidak dapat dibandingkan dengan harga dunia.
3. Kepercayaan orang ramai terhadap Rasulullah
Walaupun ramai yang membenci Rasulullah SAW, namun mereka masih lagi mempercayai sifat kejujuran yang ada pada diri Rasulullah SAW hinggakan ramai lagi yang menyerahkan harta mereka untuk dijaga oleh Rasulullah SAW. Sinar cahaya peribadi Rasulullah SAW memberi seluas ketenangan kepada masyarakat sekelilingnya.
Berbanding di zaman sekarang ini, bank-bank yang menjadi tempat simpanan harta orang ramai tumbuh merata tempat namun masih juga berlaku pecah amanah. Nyatalah bahawa zaman yang semakin jauh dengan zaman Rasulullah SAW ini, akan semakin longgar pegangan dan kepercayaan terhadap Islam. Keamanan, kemakmuran serta ketenangan sesebuah negara adalah menurut pemimpin pada zaman tersebut.
Ketahuilah para sahabat,
Kita sebagai manusia yang dikurniakan akal oleh Allah SWT, boleh menilai sendiri peribadi pemimpin pada masa sekarang ini. Penilaian rasional yang dibimbing Allah SWT akan menghasilkan penilaian yang ‘luar biasa’ daripada yang biasa-biasa. Rentetan penilaian yang ‘luar biasa’ itulah yang akan menbentuk diri kita untuk menjadi Mukmin yang luar biasa.
Mudah sahaja untuk kita menilai. Lihat saja dengan kes-kes sosial yang semakin rancak didedahkan seperti buang dan bakar anak, ibu yang bersekedudukan dengan teman lelaki, remaja sekolah yang melacurkan diri dan lain-lain lagi.
Tidak perlu risau. Allah SWT akan 'membuka' rahsia-rahsia dosa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya. Nantikanlah 'episod' seterusnya..
Marilah sama-sama kita contohi peribadi Rasulullah SAW kerana Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh / ikutan. Rasulullah SAW adalah ikutan yang releven untuk sentiasa dicontohi berbanding artis-artis yang semakin menjadi ranking tertinggi di mata masyarakat kini.
* Catatan ini tiada kaitan antara yang hidup dengan yang mati. Hanya pendapat peribadi Penulis sahaja.
0 comments:
Post a Comment